Isteri Pastor Koh harap penghakiman mahkamah bawa sedikit pengakhiran

Isteri Pastor Koh harap penghakiman mahkamah bawa sedikit pengakhiran

Susanna Liew berkata saman sivil difailkannya terhadap kerajaan dan polis mungkin di peringkat akhir.

koh family
Susanna Liew (tengah) menyifatkan kehilangan suaminya selama lapan tahun terasa seperti seumur hidup.
PETALING JAYA:
Keluarga Pastor Raymond Koh berharap penghakiman Mahkamah Tinggi dalam saman sivil difailkan terhadap kerajaan susulan kehilangannya pada 2017 akan membawa sedikit pengakhiran buat mereka.

Pada acara memperingati ulang tahun kelapan kehilangan Koh, isterinya Susanna Liew mendedahkan saman sivil terhadap kerajaan dan polis mungkin di peringkat akhir dan berharap penghakiman mahkamah sebelum September ini.

Keluarga itu memfailkan saman sivil pada 2020 selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2019 membuat kesimpulan Koh ialah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan polis Cawangan Khas.

Selepas penemuan Suhakam, tiada prosiding jenayah dilakukan ke atas pihak terbabit.

“Kami masih tidak tahu apa yang berlaku kepada Raymond. Lapan tahun berlalu dan ia terasa seperti seumur hidup.”

Liew yang menaruh harapan terhadap penghakiman mahkamah itu, mengakui penyelesaian penuh mungkin membabitkan proses berpanjangan.

“Jika kami menang, polis (dan) kerajaan mungkin merayu. Kami hanya mampu berdoa kepada Tuhan.”

Koh didakwa diculik pada 13 Feb 2017 oleh sekumpulan lelaki, dengan rakaman CCTV mendedahkan ia membabitkan sekurang-kurangnya tiga kenderaan hitam.

Suhakam dalam inkuiri awam berhubung kehilangannya antara 2017 dan 2019 membuat kesimpulan Koh ialah mangsa kehilangan paksa dilakukan kerajaan, khususnya Cawangan Khas.

Pada 2020, Liew memfailkan saman terhadap polis, ketua polis negara dan beberapa bekas pegawai tinggi polis atas kehilangan suaminya.

Beliau menuntut ganti rugi atas kehilangan Koh, pihak berkuasa bertanggungjawab atas penculikan salah di sisi undang-undang dan misfeasance (salah laku) dalam jawatan awam.

Pendengaran akan diteruskan 28 dan 29 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.