Bekas pengurus sumber manusia dianugerah RM177,000 atas pemecatan

Bekas pengurus sumber manusia dianugerah RM177,000 atas pemecatan

Mahkamah Rayuan menyatakan majikan harus mengelak daripada memecat pekerja secara tidak sah dengan berselindung di sebalik perjanjian, pengaturan, skim atau apa-apa istilah lain.

Court of Appeal
Mahkamah Rayuan melalui keputusan sebulat suara memutuskan ada kemungkinan syarikat memaksa pengurus itu menandatangani perjanjian pemisahan secara bersama.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pengurus sumber manusia di sebuah syarikat semikonduktor di Ipoh dianugerahkan bayaran gaji tertunggak RM177,600 selepas Mahkamah Rayuan memutuskan khidmatnya ditamatkan melalui perjanjian pemisahan bersama yang meragukan, lapan tahun lalu.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Wong Kian Kheong berkata majikan harus mengelakkan daripada memecat pekerja secara tidak sah dengan berselindung di sebalik perjanjian, pengaturan, skim atau apa-apa istilah lain.

Dalam membenarkan rayuan Fatimah Noordin terhadap syarikat semikonduktor Carsem Sdn Bhd, panel tiga hakim itu turut menganugerahkannya kos RM20,000.

Turut bersidang dalam panel mendengar rayuan itu Hakim Lee Swee Seng dan Azhahhari Kamal Ramli.

Dalam keputusan bertulis dikeluarkan minggu lalu, Wong berkata mahkamah tidak dapat mengarahkan Fatimah kembali bekerja kerana beliau sudah mencapai umur persaraan wajib 60 tahun.

Beliau berkata, mahkamah berpuas hati berdasarkan penilaian kebarangkalian, bahawa Fatimah tidak menandatangani perjanjian pemisahan bersama itu secara sukarela.

“Dia tidak diberikan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan kandungan perjanjian itu atau mendapatkan nasihat undang-undang mengenai kesan perjanjian,” katanya dalam keputusan setebal 42 muka surat.

Sebaliknya, beliau berkata kemungkinan syarikat memaksa Fatimah menandatangani perjanjian itu.

Fatimah adalah pengurus bahagian sejak 2013, menerima surat daripada pihak atasannya pada 20 April 2017, menyatakan perkhidmatannya akan ditamatkan bawah perjanjian pemisahan bersama, dengan pakej pampasan RM50,000.

Gaji bulanannya ketika itu adalah RM7,456.

Bagaimanapun, syarikat enggan membayarnya dan perkara itu dibawa ke Mahkamah Perusahaan untuk kes pemecatan yang tidak adil.

Sementara itu, syarikat tersebut memfailkan saman sivil terhadap Fatimah kerana didakwa membuat keuntungan rahsia.

Fatimah memfailkan tuntutan balas menyatakan beliau tidak melakukan penipuan, dan laporan polis bekas majikan terhadapnya adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat.

Keputusan Mahkamah Sesyen dua tahun lalu memihak kepada syarikat dan mengarahkan Fatimah membayar kira-kira RM300,000 sebagai ganti rugi. Rayuan Fatimah masih menunggu keputusan di Mahkamah Tinggi.

Peguam S Raam Kumar dan Norleena Jamal mewakili Fatimah di Mahkamah Rayuan manakala peguam T Thavalingam dan Tan Yang Qian mewakili syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.