Polis rekod keterangan 14 individu dalam kes kematian Nurul Aina

Polis rekod keterangan 14 individu dalam kes kematian Nurul Aina

Ketua Polis Kuantan Wan Zahari Wan Busu berkata polis turut rekod keterangan doktor yang menjalankan bedah siasat.

Wan Zahari Wan Busu
Ketua Polis Kuantan Wan Zahari Wan Busu berkata laporan kematian mengejut tidak bermaksud kes tersebut ditutup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berkata dakwaan bahawa kes kematian Nurul Aina Karim yang dipercayai dibunuh tidak disiasat adalah tidak tepat.

Ketua Polis Kuantan, Wan Zahari Wan Busu berkata pihaknya sudah merakam keterangan daripada 14 individu, termasuk doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas wanita berusia 37 tahun itu.

“Kami menafikan dakwaan tersebut kerana siasatan lanjut berhubung kematian mengejut ini masih dijalankan. Sehingga kini seramai 14 saksi telah direkod keterangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, FMT melaporkan keluarga Aina meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa tiada kemajuan dalam siasatan kes itu, dan mempersoalkan mengapa kematian mangsa tidak disiasat sebagai kes bunuh.

Menurut keluarga, Aina ditemui meninggal dunia di rumahnya di Bandar D’Marina, Kuantan pada 20 Mac lalu.

Abang iparnya, Zainal Abidin Ali berkata keluarga dimaklumkan mengenai kematian Aina oleh suami mangsa, yang mendakwa wanita itu meninggal dunia selepas terjatuh.

Bagaimanapun, ahli keluarga mendakwa terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa, manakala laporan bedah siasat menyatakan punca kematian adalah kecederaan kepala akibat hentakan objek tumpul.

Wan Zahari sebelum ini menjelaskan bahawa laporan kematian mengejut tidak bermaksud kes tersebut ditutup, dan lebih banyak bukti diperlukan untuk mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.