
Dalam catatan di platform X menerusi akaun @ApurvaSanghi, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi menyatakan, “Dengan mengambil kira semua kemungkinan kekangan, kami (Bank Dunia) mengunjurkan kadar pertumbuhan 2025 Malaysia pada 3.9%.”
Bank Dunia juga memaklumkan unjuran pertumbuhan bagi negara Asean lain, dengan Vietnam dijangka mendahului pada 5.8%, diikuti Indonesia pada 4.7%, Filipina pada 5.3%, Kemboja pada 4% dan Thailand pada 1.6%.
Selain itu, unjuran bagi kadar pertumbuhan China adalah pada 4%.
Semalam, Gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour, berkata unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 yang pada masa ini disasarkan antara 4.5% hingga 5.5% mungkin perlu disemak turun berikutan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, bagaimanapun, BNM tidak akan tergesa-gesa untuk melaraskan unjuran itu memandangkan belum ada sebarang perkembangan muktamad buat masa ini.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk ‘A Critical Juncture amid Policy Shifts’ yang dikeluarkan pada Rabu, menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1% daripada 4.7%, seiring penurunan unjuran seluruh rantau.