Tiada pencemaran sisa ladang babi di Ayer Kuning, kata Mat Sabu

Tiada pencemaran sisa ladang babi di Ayer Kuning, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak telah menjalankan kajian saintifik mengenainya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pakar Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan sisa dari ladang ternakan babi dialirkan ke kolam dan dicerakin mengikut kaedah saintifik sebelum dilepaskan ke sungai. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Sembilan ladang ternakan babi di kawasan DUN Ayer Kuning mematuhi peraturan pembuangan sisa dan tidak menyebabkan pencemaran sungai, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak telah menjalankan kajian saintifik mengenainya.

“Saya diberitahu pakar daripada DVS bahawa sisa dari ladang tersebut dialirkan terlebih dahulu ke kolam dan kemudian mengikut kaedah saintifik, dicerakinkan sebelum dilepaskan ke sungai. Bacaan bahan tercemar dibuang ke sungai di bawah 10 (ppm-bahagian per juta), iaitu dalam paras selamat.

“Oleh itu, pembuangan sisa dari sembilan ladang ternakan babi ini tidak menyebabkan pencemaran. Kalau pihak lain mempunyai kajian berbeza, sila kemukakan bukti, kajian pihak kami dalam kawasan DUN Ayer Kuning mendapati tiada pencemaran berlaku,” kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan malam Madani di Coldstream di sini, malam tadi yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurutnya, pihak berkuasa akan terus memantau semua ladang ternakan babi bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang, selain mengambil tindakan tegas jika berlaku sebarang pelanggaran atau pencemaran.

“Saya tahu isu ini sensitif, terutama melibatkan perasaan pelbagai kaum. Penting untuk kita jelaskan fakta dan jangan sebarkan maklumat salah hingga menimbulkan panik dalam kalangan penduduk,” katanya yang lebih dikenali Mat Sabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.