Singapura dakwa 2 pemimpin PAS cuba pengaruhi PRU

Singapura dakwa 2 pemimpin PAS cuba pengaruhi PRU

Dua pemimpin itu adalah Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar.

Iskandar Abdul Samad
Singapura mendakwa Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar cuba mempengaruhi PRU negara itu.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Singapura mengenal pasti tiga warga asing termasuk dua pemimpin PAS yang didakwa cuba mempengaruhi PRU negara itu yang bakal berlangsung pada 3 Mei ini.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa mengesan beberapa hantaran di media sosial oleh warga asing yang menyentuh urusan politik negara itu.

Katanya, antara warga asing itu adalah Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dan seorang warga Australia Zulfikar Mohamad Shariff yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020.

“Menurut Akta Pilihan Raya Parlimen, warga asing dilarang sama sekali untuk terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya, termasuk menerbitkan iklan pilihan raya secara dalam talian.

“Campur tangan asing dalam politik Singapura dianggap satu kesalahan serius, kerana urusan politik negara ini hanya boleh ditentukan oleh warganya sendiri,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, Iskandar didapati membuat satu hantaran yang menyatakan sokongan terhadap calon tertentu manakala Sukri pula berkongsi hantaran Zulfikar atau dikenali di Facebook sebagai ‘Zai Nal’.

Menurutnya, dalam hantaran tersebut Zulfikar yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2016 mendakwa beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam di Singapura.

Susulan itu, Infocomm Media Development Authority yang bertindak sebagai Penolong Pegawai Pengembali Undi mengarahkan Facebook menyekat akses pengguna Singapura terhadap beberapa kandungan diterbitkan warga asing itu sepanjang tempoh pilihan raya.

Katanya, hantaran itu disasarkan kepada rakyat Singapura dan berpotensi memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama yang menjadi asas keharmonian. Ia juga mendorong kepada peningkatan kandungan media sosial lain yang berbaur sama.

“Singapura adalah sebuah negara sekular. Institusi-institusi kami berkhidmat untuk semua rakyat secara saksama.

“Mencampuradukkan agama dalam politik hanya akan menggugat perpaduan sosial dan keharmonian masyarakat, seperti yang kita lihat berlaku di negara-negara lain,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.