Ahli PKR gesa PM campur tangan henti himpunan bantah rumah ibadat haram

Ahli PKR gesa PM campur tangan henti himpunan bantah rumah ibadat haram

Sekumpulan ahli PKR buat laporan polis terhadap pendakwah bebas dan sebuah NGO yang terlibat anjur perhimpunan itu esok.

Thiban Subramaniam
Thiban Subbramaniam (dua kiri) bersama beberapa ahli PKR selepas membuat laporan polis terhadap seorang pendakwah bebas dan penganjur perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram.
KUALA LUMPUR:
Sekumpulan ahli PKR menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim campur tangan untuk menghentikan perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat secara haram anjuran sebuah NGO di Kuala Lumpur esok.

Wakil kumpulan itu, Thiban Subbramaniam berkata walaupun himpunan itu digambarkan sebagai perhimpunan aman, namun mendakwa terdapat unsur provokasi dan kenyataan media yang disasarkan kepada satu agama khususnya agama Hindu.

“Perdana menteri harus campur tangan kendalikan dan hentikan isu ini yang sangat sensitif kerana libatkan agama.

“Setiap agama ajar hormat agama lain dan jangan persenda serta perlekehkan mana-mana agama,” katanya pada sidang medianya selepas membuat laporan polis terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth dan sebuah kumpulan yang dinamakan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram.

Penganjuran perhimpunan dirancang di pekarangan Kompleks Sogo mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), iaitu rakan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Rabu lalu, FMT melaporkan Ketua Penerangan MIPP Justin Prabakaran berkata pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada pucuk pimpinan PAS dan Bersatu supaya tidak menyertai perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram dianjurkan gabungan NGO, Sabtu ini.

Thiban juga mendakwa terdapat agenda politik di sebalik penganjuran himpunan itu, termasuk pemilihan tarikh yang kebetulan sama dengan lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia esok.

Beliau juga mengaitkan kehadiran beberapa individu dan aktivis politik sebagai bukti kemungkinan wujud kepentingan politik tertentu untuk menjejaskan imej perdana menteri.

“Terdapat cubaan untuk menjejaskan imej perdana menteri dan kestabilan kerajaan melalui isu sensitif berkenaan.

“Laporan polis dibuat kerana bimbang isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dieksploitasi sehingga boleh menggugat kestabilan sosial dan keselamatan awam,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, Jonathan Vela berkata isu rumah ibadat itu hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, isu rumah ibadat haram tidak wajar dijadikan bahan propaganda atau alasan untuk menggerakkan perhimpunan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.