
Ilham Centre berkata momokan hubungan dua parti yang sebelum ini bermusuh sebelum bekerjasama menerusi kerajaan perpaduan masih menjadi isu sensitif di kalangan pengundi Melayu termasuk di Ayer Kuning.
“Cubaan pemimpin DAP Nga Kor Ming untuk menormalisasi istilah UmDAP dengan laungan “UmDAP Mantap” ternyata memberi lebih banyak kesan negatif berbanding positif dan dilihat lebih strategik sekiranya ia ditangani sepenuhnya jentera BN.
“Menariknya, BN sendiri mengambil langkah luar biasa dengan tidak membuat sebarang kenyataan balas dalam sidang media seperti kebiasaan sebelum ini.
“Amanah pula menjadi wakil kerajaan perpaduan yang dipertanggungjawabkan untuk menjawab serangan-serangan yang dilancarkan oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya laporan pola pengundi dan prediksi PRK Ayer Kuning yang berlangsung esok.
PRK Ayer Kuning esok menyaksikan pertembungan Abdul Muhaimin Malek (PN), Mohamad Yusri Bakir (BN) dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sebelum ini, tular video Nga yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan melaungkan ‘UmDAP mantap’ bersama beberapa penyokong BN pada kempen PRK.
Sementara itu, Ilham berkata kempen isu tempatan mendominasi pilihan raya terbabit seperti tauliah mengajar agama Muhaimin oleh PH manakala PN pula membangkitkan isu pencemaran najis babi.
“PN menggunakan isu tempatan seperti pencemaran najis babi tetapi diubahsuai menjadi isu berbaur perkauman yang bertujuan meraih simpati
pengundi Melayu.
“Naratif ini, walaupun berisiko tinggi, kelihatan masih berkesan dalam konteks demografi tempatan,” katanya.