Cederakan isteri, hukuman penjara lelaki diganti denda

Cederakan isteri, hukuman penjara lelaki diganti denda

Mahkamah Tinggi memetik keperluan melihat 'gambaran lebih besar' dan mendapati mangsa bersetuju dengan perubahan itu.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam menggantikan hukuman penjara 10 tahun ke atas Zamiruddin Abdul Manaf yang mencederakan isterinya ketika itu kepada denda RM8,000.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 bulan ke atas seorang lelaki atas keganasan rumah tangga berdasarkan “gambaran lebih besar” kes itu.

Hakim Aslam Zainuddin menggantikan hukuman dijatuhkan mahkamah rendah ke atas Zamiruddin Abdul Manaf, 49, kerana mencederakan isterinya ketika itu, Nazla Hamzah, 46, lima tahun lalu dengan denda RM8,000.

Dalam keadaan biasa, beliau berkata, Mahkamah Rayuan keberatan mengubah hukuman dijatuhkan mahkamah rendah.

Tetapi, beliau bersetuju mengubah hukuman Zamiruddin selepas mangsa yang hadir di mahkamah “sangat bermurah hati bersetuju” dengan perubahan itu.

Aslam berkata, ketika menentukan hukuman, mahkamah tidak patut bertindak atas dasar “satu hukuman sesuai untuk semua”, sebaliknya perlu mempertimbangkan fakta setiap kes dengan teliti sebelum membuat keputusan.

“Ini keputusan menang-menang untuk kedua-dua (pihak),” katanya.

Aslam mendapati Nazla mengalami kecederaan tisu lembut akibat serangan itu.

“Walaupun ini tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan, mahkamah berpendapat ia perlu melihat gambaran lebih besar dalam kes ini,” katanya dalam penghakiman setebal 16 muka surat.

Menurutnya, Zamiruddin masih menanggung nafkah tiga anak hasil perkahwinannya dengan Nazla suuslan penceraian mereka. Mahkamah mendapati dia mempunyai keluarga lain untuk ditanggung.

“Perayu yang bekerja dengan anak syarikat (syarikat telekomunikasi), akan hilang pekerjaannya jika dia dipenjarakan.”

Zamiruddin didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Sept 2020 di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, Ampang, Selangor dan didakwa mengikut Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada ahli keluarga.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, manakala Seksyen 326A membawa hukuman penjara sehingga dua kali tempoh ditetapkan di bawah Seksyen 323.

Aslam berkata, beliau bersetuju dengan kesalahan itu dikompaun mengikut Seksyen 260 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Seksyen 260(1) memperuntukkan kompaun boleh, dengan persetujuan mahkamah, ditawarkan untuk kesalahan tertentu walaupun pendakwaan belum selesai.

Aslam berkata, beliau berhak menggunakan Seksyen 260 walaupun di peringkat rayuan kerana rayuan adalah lanjutan kepada perbicaraan.

“Pada pandangan saya, tiada halangan untuk kesalahan itu dikompaun kerana Seksyen 326A Kanun Keseksaan hanyalah penambahbaikan seksyen hukuman.”

Pihak pendakwaan sudah memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.