Bekas hakim disabit kesalahan rasuah jalani hukuman penjara 6 bulan

Bekas hakim disabit kesalahan rasuah jalani hukuman penjara 6 bulan

Mahkamah Rayuan batalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang kurang hukuman penjara Azmil Muntapha Abas kepada sehari.

Bekas hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha Abas dibawa ke penjara Kajang selepas prosiding untuk memulakan hukuman penjaranya.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas hakim yang disabitkan atas rasuah dihantar ke penjara hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman penjara enam bulan serta denda RM25,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Nazlan Ghazali sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini yang mengurangkan hukuman penjara terhadap Azmil Muntapha Abas kepada hanya satu hari dan dendanya RM12,000.

Nazlan berkata Azmil, bekas hakim Mahkamah Sesyen, disabitkan atas satu kesalahan jenayah yang serius dan melakukan perbuatan itu ketika berkhidmat sebagai penjawat awam.

Beliau menambah kesalahan tersebut, antara lain, telah menghakis kepercayaan orang awam terhadap institusi kehakiman serta menafikan hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan yang cekap.

“Setelah meneliti semula rekod rayuan, kami dapati hakim perbicaraan telah mengambil kira faktor mitigasi dan pemberatan sebelum menjatuhkan hukuman.

“Keputusan hakim perbicaraan adalah berkadaran, adil, berpatutan serta tidak berlebihan,” kata Nazlan yang bersidang bersama Hakim Zaini Mazlan dan Wan Farid Wan Salleh.

Azmil dibawa terus ke Penjara Kajang selepas prosiding untuk mula menjalani hukuman serta-merta.

Azmil disabitkan pada 2022 atas kesalahan menerima rasuah RM5,000 daripada seorang individu yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya, melibatkan prosiding mahkamah terhadap enam tertuduh dalam kes jenayah pada 2018.

Ketika itu, Azmil bertugas sebagai hakim di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, dan hanya mengenakan denda terhadap semua enam tertuduh selepas menerima rasuah tersebut.

Dia menerima wang itu pada 10 Mei 2018 melalui akaun bank di Maybank, Jalan Meru, Klang.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman penjara kepada sehari dan denda kepada RM12,000, namun menolak rayuan Azmil untuk mengetepikan sabitan bersalah.

Mahkamah Tinggi terkhilaf anggap saksi pengaruh tertuduh

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berhujah bahawa hakim perbicaraan telah mempertimbangkan kepentingan awam dan tahap keseriusan kesalahan semasa menjatuhkan hukuman.

Beliau berhujah hukuman penjara sehari gagal mencapai matlamat untuk menghalang orang ramai daripada melakukan kesalahan sama dan menunjukkan keseriusan jenayah yang dilakukan oleh seseorang berjawatan sedemikian.

Farah juga berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan bahawa saksi pendakwaan ketiga dan keempat memainkan peranan besar dalam mempengaruhi Azmil untuk melakukan jenayah tersebut.

Saksi tersebut ialah seorang inspektor polis dan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika kesalahan berlaku.

Farah menegaskan bahawa Azmil sedar sepenuhnya akan tindakannya.

“Perkara penting ialah sebelum (timbalan pendaftar) menyerahkan wang kepada responden, dia bertanya sama ada boleh simpan RM1,000 (wang rasuah),” katanya, yang menambah mereka merujuk RM1,000 sebagai ‘biji’.

“Dia berkata: ‘Ada enam ‘biji’, boleh saya ambil satu ‘biji’.”

Tambahnya, sebagai seorang hakim, Azmil seharusnya menjadi teladan dan memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi juga dilihat dilaksanakan.

Peguam bela Azmil, yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohtarudin Baki, berkata bahawa hujahan berkaitan kepentingan awam dan integriti badan kehakiman hanyalah retorik kerana tiada tindakan diambil terhadap saksi pendakwaan ketiga dan keempat.

“Malah, saksi tersebut dinaikkan pangkat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai timbalan pendakwa raya. Maaf saya katakan, tetapi hujahan menegakkan integriti perkhidmatan awam hanyalah retorik,” katanya.

Beliau berhujah bahawa hukuman penjara sehari bukanlah ‘hukuman ringan’ kerana kerjaya Azmil selama 17 tahun telah musnah, dan denda RM12,000 juga merupakan jumlah yang tinggi.

“Perasaan malu dan kesal, serta kehilangan keyakinan diri, sudah menjadi hukuman yang berat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.