Penghantar makanan bantu polis cekup suspek ragut warga emas

Penghantar makanan bantu polis cekup suspek ragut warga emas

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berlaku ketika mangsa berusia 70 tahun sedang menuju ke tempat letak kereta.

peragut food panda
Tangkap layar video tular lelaki disyaki terbabit dalam kes ragut di sebuah pasar raya ditangkap sekumpulan pekerja p-panggilan penghantar makanan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dipercayai suspek kes ragut di sebuah pasar raya di Malim, Melaka, ditahan hasil bantuan sekumpulan pekerja p-panggilan penghantar makanan.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata mangsa yang juga warga emas berusia 70 tahun sebelum itu diragut suspek ketika sedang menuju ke tempat letak kereta.

“Suspek yang menunggang motosikal cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan dengan bantuan penunggang p-panggilan yang berada berhampiran.

“Antara barangan dirampas ialah dua telefon bimbit, sebuah motosikal, pelbagai kad bank, kad pengenalan, serangkai kunci dan wang tunai RM107,” katanya dalam kenyataan.

Semalam tular video berdurasi 47 saat yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menahan seorang lelaki dipercayai suspek dalam kes ragut itu.

Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya menunjukkan positif dadah jenis nimetazepam.

“Penahanan suspek turut membantu polis menyelesaikan lima kes ragut yang dilaporkan di sekitar Melaka Tengah sepanjang tahun ini.

“Suspek kini direman selama enam hari sehingga 29 April. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.