Pendakwa tutup kes pengabaian Zayn Rayyan

Pendakwa tutup kes pengabaian Zayn Rayyan

Hakim bicara Syahliza Warnoh akan menyampaikan keputusan pada 21 Julai sama ada ibu bapa mangsa akan dipanggil bela diri.

Zayn Rayyan Abdul Matiin
Jasad Zayn Rayyan Zaim Ikhwan, 6, ditemui di anak sungai berdekatan kediamannya pada 6 Dis 2023, sehari selepas dia dilapor hilang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pendakwaan menutup kes perbicaraan pengabaian Zayn Rayyan Zaim Ikhwan selepas pendengaran berlangsung 20 hari, sejak 4 Feb.

Pihak pendakwaan memanggul 28 saksi, dengan saksi terakhir melibatkan pegawai penyiasat, Hafizee Ismail, dalam usaha membuktikan kes prima facie terhadap ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada hakim bicara, Syahliza Warnoh, bahawa pihak pendakwaan akan menawarkan 23 saksi yang tidak dipanggil untuk memberi keterangan kepada pasukan pembelaan pasangan berkenaan.

Peguam Haresh Mahadevan, berkata pihak pembelaan telah mengenal pasti tujuh individu untuk dipanggil sebagai saksi.

Syahliza kemudiannya mengarahkan pihak-pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis pada 23 Mei dan jawapan masing-masing selewat-lewatnya pada 6 Jun.

“Saya akan menyampaikan keputusan pada 21 Julai,” katanya. Syahliza turut menyatakan pihak pembelaan perlu memulakan kes pada hari sama, sekiranya beliau memutuskan bahawa kes prima facie telah dibuktikan.

Beliau juga menetapkan 22 dan 23 Julai serta lima hari lagi bermula 4 Ogos untuk perbicaraan disambung.

Awal hari ini, Hafizee ketika pemeriksaan balas menafikan beliau ada memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain, bahawa terdapat kecederaan akibat mempertahankan diri pada badan mangsa.

“Ia (maklumat itu) boleh jadi daripada anggota lain dalam pasukan siasatan,” katanya.

Haresh kemudian merujuk saksi itu kepada laporan media dalam talian bertarikh 7 Dis 2023, yang mana Shuhaily dalam sidang akhbar memaklumkan terdapat kecederaan akibat mempertahankan diri pada badan Zayn Rayyan, bercanggah dengan laporan bedah siasat disediakan pakar forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan.

Haresh: Adakah kenyataan Shuhaily kepada media bercanggah dengan laporan?

Hafizee: Ya, berdasarkan laporan bedah siasat.

Saksi berkata, Shuhaily mungkin memberi taklimat kepada media berdasarkan laporan awal.

Ismanira dan Zaim Ikhwan, kedua-duanya berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa berhampiran Blok R Pangsapuri Idaman di Damansara Damai dan anak sungai berhampiran, antara tengah hari pada 5 Dis dan 9.55 malam pada 6 Dis 2023.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang mana membawa hukuman sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jasad Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berdekatan kediamannya, pada 6 Dis 2023, sehari selepas kanak-kanak autisme itu dilapor hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.