Kemenangan Mustapha ‘nafas baharu’ PKR Sabah menjelang PRN, kata penganalisis

Kemenangan Mustapha ‘nafas baharu’ PKR Sabah menjelang PRN, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata kepimpinan Mustapha Sakmud akan bantu PH kemudi rundingan dalaman dan peruntukan kerusi dengan lebih baik.

mustapha sakmud christina liew
Mustapha Sakmud peroleh kemenangan menyakinkan pada pemilihan ketua cabang PKR Kota Belud, namun bekas timbalan ketua menteri Sabah Christina Liew terlepas jawatan tertinggi cabang Kota Kinabalu.
PETALING JAYA:
Dengan kekalahan pemimpin veteran Christina Liew di cabangnya sendiri, penganalisis berkata, pemilihan semula Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud sebagai ketua bahagian mampu memberikan nafas baharu bagi prospek parti itu pada PRN akan datang.

Hujung minggu lalu, Mustapha yang juga timbalan menteri pengajian tinggi dan Ahli Parlimen Sepanggar memperoleh kemenangan meyakinkan di Kota Belud, manakala Liew – bekas timbalan ketua menteri Sabah – terlepas jawatan tertinggi bahagian Kota Kinabalu.

Liew, yang dipilih sebagai ketua PKR Sabah pada 2017 dan mengambil alih jawatan pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri pada tahun berikutnya, sudah lama dikritik orang partinya sendiri, terutama selepas PRU15.

Adun Api-Api tiga penggal itu kehilangan jawatan tertinggi parti negeri tiga tahun lalu, kemudian jawatan pengerusi PH negeri pada Disember tahun lepas.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya percaya peralihan kepimpinan dalam PKR Sabah akan membantu PH mengemudi rundingan dalaman dan peruntukan kerusi dengan lebih baik menjelang PRN akan datang.

Menyifatkan Mustapha sebagai ‘muka baharu’, Awang Azman berkata, kepimpinannya akan membolehkan PH mentakrifkan semula kaedah libat urusnya dengan rakan gabungannya dan pengundi.

Beliau juga berkata, kemenangan Mustapha mencerminkan kepercayaan akar umbi yang kukuh, meletakkan beliau pada kedudukan yang baik untuk memimpin parti mengharungi PRN.

Penggal DUN semasa tamat pada 11 Nov, menurut Speaker Kadzim Yahya awal minggu ini. Bawah Artikel 21(4) perlembagaan Sabah, PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

“Mustapha seorang yang sederhana, mudah didekati dan tidak terpalit dengan sebarang kontroversi. Keperibadiannya menjadikan perbincangan dalaman lebih lancar, terutama dengan sekutu seperti DAP, Upko, malah Umno, sedikit-sebanyak.

“Kemenangannya menandakan kesediaan untuk melangkah ke hadapan. Beliau akan memerlukan jentera parti yang kukuh – bukan sahaja untuk memperkukuh PKR, tetapi juga untuk menyatukan PH bawah panji kerajaan perpaduan,” kata Awang Azman kepada FMT.

Bina semula strategi pilihan raya di tengah-tengah dinamik rumit

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kekalahan Liew bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pengaruhnya semakin pudar sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kepimpinan Mustapha tawar peluang kepada PKR untuk membina semula strategi pilihan raya daripada asas.

“Ini meletakkan PKR pada kedudukan lebih kukuh ketika rundingan kerusi,” katanya.

Namun, Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre memberi peringatan, walaupun Mustapha membawa semangat baharu, cabaran terbesarnya masih menanti – terutama dengan dinamik pakatan yang kompleks di Sabah.

Hisomuddin berkata, Mustapha dijangka merombak jentera parti negeri dan menyelaraskan strategi Sabah dengan kepimpinan pusat, terutama apabila sentimen pengundi terus berubah.

“Dinamik dalam PKR Sabah sedang berubah. Ada tenaga baharu, dan ia mesti dimanfaatkan untuk mengenal pasti kerusi yang boleh dimenangi, mencetuskan keyakinan dan berunding daripada kedudukan yang kukuh.

“Perubahan kepimpinan bawa momentum, tetapi kerja keras kena mula dari sekarang,” katanya,.

“Setiap tuntutan kerusi mesti disokong oleh calon yang kuat, sokongan akar umbi yang padu dan strategi yang jelas.”

PKR kini hanya memegang dua daripada 73 kerusi DUN Sabah, iaitu Api-Api dan Inanam yang diwakili oleh Peto Galim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.