
Mohd Hafizee Ismail yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di IPD Petaling Jaya, memberikan keterangan itu semasa disoal balas peguam Haresh Mahadevan pada hari ke-19 perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa mangsa Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Hafizee, yang kini bertugas sebagai pegawai risikan operasi di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan, turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Zayn Rayyan bukan mangsa penderaan dan tidak diabaikan berdasarkan laporan perubatan.
Haresh: Adakah anda tahu daripada 27 saksi pendakwaan yang memberi keterangan, tiada seorang saksi pun yang menyatakan di mahkamah bahawa mereka ada melihat tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dan tertuduh kedua (Ismanira) ataupun mereka bersama-sama mengabaikan Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Dis 2023, tiada satu orang pun.
Hafizee: Saya tidak pasti.
Haresh: Mengikut siasatan anda saksi mana yang cakap, tahu ke? dan Hafizee menjawab: Tiada saksi.
Saksi pendakwaan ke-28 itu turut bersetuju bahawa tiada keterangan daripada 27 saksi pendakwaan yang memberi keterangan di mahkamah, melihat kedua-dua tertuduh berada di kawasan sungai berdekatan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, iaitu lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.
Haresh: Daripada 27 saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan, saksi yang mana satu yang melihat kedua-dua tertuduh berada di kawasan sungai tersebut?.
Hafizee: Tiada.
Ismanira dan Zaim Ikhwan yang kedua-duanya berusia 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan yang berusia enam tahun dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
Perbicaraan bersambung petang ini.