
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri juga memutuskan Kementerian Luar akan menyelaras pelaksanaan MoU ditandatangani.
Katanya, antara MoU disegerakan adalah pengumuman Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam satu acara baru-baru ini mengenai cadangan hab berkembar antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Henan.
“Perancangan kerajaan adalah untuk pastikan semua MoU yang telah ditandatangani dapat dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Pada 16 April lalu, Anwar dan Presiden China Xi Jinping menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.
Majlis diadakan di Kompleks Seri Perdana itu antara lain menyaksikan MoU antara kerajaan dan agensi berita Xinhua dalam bidang berita dan maklumat.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan kini berada di Washington, Amerika Syarikat, untuk rundingan dan mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif.
“Kita perlu tunggu sehingga mereka pulang dan melaporkan kepada Jemaah Menteri. Harapan saya minggu depan kita ada sedikit maklumat hasil lawatan tersebut,” katanya.