Pelaksanaan cuti tambahan bomba ditangguh

Pelaksanaan cuti tambahan bomba ditangguh

Insentif kepada anggota bomba bertugas sistem syif 12 atau 24 jam sepatutnya bermula 1 Mei ini.

bomba
Januari lalu kerajaan mengumumkan insentif hari rehat mingguan selama 26 hari sebagai usaha menjaga kebajikan anggota bomba.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) untuk warga bomba yang sepatutnya bermula 1 Mei ini didakwa ditangguhkan sekali gus mengakibatkan kekecewaan dalam kalangan anggota.

Insentif kepada anggota bertugas sistem syif 12 atau 24 jam itu sekian lama diperjuangkan sehinggalah diluluskan pada Januari lalu.

Merujuk surat pekeliling ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Nor Hisham Mohamad, penangguhan dibuat bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras dan menambah baik pelaksanaannya.

“Ia bagi memastikan perkhidmatan pengoperasian kebombaan tidak terjejas dan sentiasa berada pada tahap optimum.

“JPA menangguhkan pelaksanaan HRM bermula 1 Mei 2025 hingga ke suatu tarikh baharu akan dimaklumkan kelak,” menurut surat bertarikh 10 April.

Bagaimanapun, Hisham ketika dihubungi FMT enggan mengulas lanjut perkara itu.

Seorang anggota enggan dinamakan berkata, perkembangan itu mengecewakan mereka dan berharap penangguhan dibatalkan.

“Kalau JPA tidak mahu beri cuti tambahan, naikkan elaun bayaran insentif bomba (BIB).

“Cuti am kami tidak dapat, elaun kerja lebih masa pun tiada,” dakwa anggota berkhidmat selama 20 tahun itu.

Mengikut pengumuman sebelum ini, setiap anggota bomba layak mendapat satu hari rehat tambahan pada setiap 14 hari atau lapan kali pusingan waktu bertugas secara syif 12 jam.

Sebelum ini anggota bomba tidak mempunyai hari rehat mingguan.

FMT sebelum ini melaporkan keluhan warga bomba berhubung isu tersebut dan bayaran ganti cuti am sekitar 18 hingga 19 hari setahun, yang didakwa tidak setimpal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.