
Beliau berkata, semasa permohonan program penajaan pengajian tertiari (TESP) dibuka November lalu, syarat itu dinyatakan secara jelas dalam garis panduan permohonan sebagai antara syarat utama penajaan Mara.
“Ia bukanlah syarat baharu, tetapi ditetapkan sejak puluhan tahun dahulu. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berhajat membeli sebuah rumah baharu, dia tidak boleh menerima pembiayaan daripada dua bank berbeza.
“Begitulah juga halnya dengan pembiayaan pelajaran. Mara ingin memberi peluang kepada seramai pelajar Bumiputera tidak pernah menerima bantuan daripada penaja lain untuk mendapat bantuan pinjaman pelajaran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas isu pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) ditolak permohonan penajaan Mara kerana sudah menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sementara itu, Zulfikri berkata, Mara sentiasa komited menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti dan berdaya saing.
Katanya, sehingga kini Mara menaja 423 pelajar Unishams sejak 1999, dengan 173 pelajar masih aktif ditaja dalam pelbagai bidang, termasuk 144 pelajar perubatan.
Setakat 31 Mac lalu, beliau berkata 4,510 pelajar Bumiputera dalam bidang perubatan dalam negara sedang ditaja Mara.