SPK cadang Tengku Maimun jadi ketua hakim negara, kata bekas ahli

SPK cadang Tengku Maimun jadi ketua hakim negara, kata bekas ahli

Perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad buat langkah tepat mendapat nasihat peguam negara bagi peroleh perincian mengenai Tengku Maimun Tuan Mat.

Tengku Maimun Tuan Mat
Tengku Maimun Tuan Mat, dilantik ketua hakim negara pada 2019, dicalonkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) walaupun masih junior sebagai hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, kata bekas ahli SPK.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) mencalonkan Tengku Maimun Tuan Mat untuk jawatan ketua hakim negara walaupun beliau ketika itu hakim Mahkamah Persekutuan yang masih junior, menurut seorang bekas ahli pihak berkuasa pelantikan itu.

Bekas ahli SPK yang enggan dinamakan kerana sensitiviti perkara itu, berkata perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menerima cadangan tanpa bantahan.

“Namun, saya boleh sahkan namanya dihantar oleh sembilan ahli SPK, dipengerusikan ketua hakim negara pada masa itu, Richard Malanjum, dan kami mematuhi semua prosedur dengan tegas,” kata bekas ahli SPK berkenaan.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan bekas ketua hakim negara, Abdul Hamid Mohamad, bahawa pelantikan Tengku Maimun tidak melalui SPK, satu dakwaan berpandukan kepada petikan dalam memoir bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Thomas menulis bahawa beliau mencadangkan nama Tengku Maimun kepada Mahathir, yang kemudiannya membawanya ke Majlis Raja-raja untuk mendapatkan perkenan.

Hamid mempertikaikan sama ada pelantikan tersebut, walaupun secara meluas disambut baik memandangkan wanita pertama dalam sejarah dilantik ke jawatan itu, mematuhi prosedur ditetapkan dalam undang-undang.

Dalam pada itu, bekas ahli SPK itu berkata, Hamid tidak patut dipersalahkan kerana bergantung petikan memoir Thomas, yang mana ‘tidak tepat’.

Sumber berkenaan turut menyatakan, Mahathir mempunyai hak mendapat nasihat peguam negara, yang berperanan sebagai ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

“Thomas adalah individu tepat untuk menyediakan beberapa perincian mengenai Tengku Maimun kerana Mahathir tidak mengenalinya,” katanya.

Mahathir kembali menjadi perdana menteri bagi penggal kedua pada 10 Mei 2018.

Tengku Maimun dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 2006, disusuli dilantikan hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.

Beliau kemudian dilantik hakim Mahkamah Rayuan pada 2013, sebelum diangkat ke Mahkamah Persekutuan, pada November 2018.

Walaupun hanya enam bulan berada di mahkamah atasan itu, Tengku Maimun dilantik ketua hakim negara pada 2 Mei 2019, pada usia 59 – langkah mengejutkan ramai pihak ketika itu.

Ditanya pada masa itu sama ada beliau terkejut dengan pelantikannya, Tengku Maimun dilaporkan mengulas: “Secara keseluruhan ini adalah rezeki daripada Allah SWT dan Alhamdulillah.”

Beliau merupakan penjawat termuda dilantik ke jawatan tersebut sejak Suffian Mohamed Hashim, yang menjadi ketua hakim negara pada usia 57 tahun pada 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.