Skim MBI: Tan Sri dan Datuk Seri direman, sitaan RM3.5 bilion

Skim MBI: Tan Sri dan Datuk Seri direman, sitaan RM3.5 bilion

Lima individu termasuk Tan Sri dan Datuk Seri direman lima hingga enam hari untuk membantu siasatan.

Hasbullah Ali
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman Muhammed Hasbullah Ali (tengah) berkata tangkapan dibuat dalam operasi pada 18 April lalu hingga semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri antara lima direman berkait skim penipuan pelaburan MBI International Group (MBI) membabitkan sitaan RM3.5 bilion.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman, Muhammed Hasbullah Ali, berkata individu terbabit direman lima hingga enam hari bagi membantu siasatan.

Katanya, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat daripada operasi pertama dan pasukannya menjalankan ‘Ops Northern Star’ siri kedua sekitar Lembah Klang dan utara tanah air pada 18 April lalu hingga semalam.

“Secara keseluruhan pembekuan dan penyitaan dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion membabitkan dusun durian dianggarkan bernilai RM223 juta di tiga lokasi iaitu Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah.

“Sebanyak 299 akaun bank berjumlah RM123 juta, 12 kenderaan mewah, satu utas jam tangan mewah, wang tunai, lima telefon bimbit, satu komputer dan pelbagai dokumen penting dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan tersebut,” katanya dalam sidang media.

Pada 12 April lalu, polis mengenal pasti beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim penipuan pelaburan itu.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata individu terbabit dikesan hasil siasatan lanjut terhadap lapan individu, termasuk empat bergelar Datuk yang ditahan menerusi Ops Northern Star pada 20 Mac lalu.

Katanya, bukti baharu diperoleh membolehkan polis mengesan lebih ramai yang dipercayai terbabit dalam rangkaian penipuan berasaskan ‘Ponzi Scheme’ itu.

Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata operasi membabitkan pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran dilaksanakan berdasarkan maklumat notis merah dikeluarkan Interpol sekali gus mencetuskan tindakan rentas negara.

MBI diasaskan oleh ahli perniagaan Malaysia, Tedy Teow Wooi Huat.

Teow ditahan pihak berkuasa Thailand pada 21 Julai 2022 selepas visanya dibatalkan susulan pembabitan dalam skim piramid, penipuan pelabur dan aktiviti pemasaran pelbagai peringkat.

Polis China juga mengeluarkan notis merah menerusi Interpol pada 9 Nov 2020 untuk memburu lelaki itu yang dipercayai menipu sehingga dua juta orang, majoritinya warga China.

Pada 20 Ogos lalu, Teow diekstradisi dari Penjara Tahanan Bangkok ke China bagi menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan serta pengubahan wang haram.

Sementara itu, Hasbullah berkata pasukannya turut menyita tiga perniagaan bawah Seksyen 52 (Akta 613) membabitkan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah dan sebuah hotel serta syarikat pemaju masing-masing di Pulau Pinang.

Beliau menyeru pihak mempunyai maklumat berkaitan aset dan hasil perolehan haram berkait kes penipuan pelaburan MBI memberikan kerjasama kepada pasukan Amla.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.