
Calonnya Abd Muhaimin Malek berkata, penghapusan ladang itu termasuk dalam tawaran berkait tanggungjawab alam sekitar.
“Saya akan memperjuangkan isu pencemaran yang menjejaskan kesihatan penduduk termasuk tindakan tegas terhadap ladang babi haram dan sistem sisa yang tidak cekap.
“Saya juga komited untuk menggalakkan teknologi hijau dan sistem zero discharge dalam aktiviti penternakan dan pertanian,” katanya mengumumkan lima tawaran bertemakan ‘Tekad Muhaimi untuk rakyat’.
Isu ladang babi antara bahan kempen PN yang membangkitkan kebimbanga kewujudan pusat itu di kawasan majoriti Melayu di Ayer Kuning.
Sebelum ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendakwa ada 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan, dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana terdapat ladang haram.
Semalam, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A Sivanesan, berkata sebahagian besar ladang yang wujud pada hari ini adalah warisan operasi sejak beberapa dekad lepas.
Beliau berkata, ladang berkenaan terletak atas tanah milik persendirian serta beroperasi sebelum pewartaan garis panduan atau dasar penternakan moden diperkenalkan.
Berhubung tawaran lain, Muhaimin berkata beliau juga akan fokus soal ekonomi rakyat dan memperkasa usahawan dengan menawarkan latihan asas keusahawanan, pertanian moden dan pemasaran digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan.
Beliau turut menawarkan khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian dengan menubuhkan dua pusat pusat khidmat tetap dan satu bergerak selain melaksanakan program ‘Ayer Kuning Sejahtera’ melalui aktiviti kerja sukarelawan.
“Ia termasuk memperluas pendidikan Islam serta memupuk perpaduan antara kaum,” katanya.
Beliau berdepan calon BN Mohamad Yusri Bakir dan KS Bawani daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).