Nama besar PKR bukan jaminan menang pemilihan, kata Saifuddin

Nama besar PKR bukan jaminan menang pemilihan, kata Saifuddin

Bekas setiausaha agung PKR berkata kalah bukan bermaksud mereka terpinggir.

Saifuddin Nasution
Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkata kalah pemilihan bukan bermakna mereka tersingkir daripada parti.
PUTRAJAYA:
Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata nama besar pimpinan tidak semestinya menang pemilihan, memandangkan pembinaan parti bersifat dinamik.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata demikian ketika ditanya laporan yang mencadangkan pasukan yang dikatakan penyokong Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hilang pengaruh, dalam pemilihan cabang, baru-baru ini.

“Mereka bukan tewas. Mereka undi tak cukup,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.

“Nama-nama besar, menteri, timbalan menteri atau pimpinan utama…mesti menang? Tak juga macam itu.”

Saifuddin berkata, kalah bukan bermaksud terpinggir dan tersingkir.

“Selama kamu terus berkhidmat. Kamu terus setia dengan parti. Pimpinan tetap memberikan tempat kepada kamu,” katanya.

Awal hari ini, Adun senior PKR ketika bercakap kepada FMT, menafikan cakap-cakap wujudnya kumpulan tertentu dalam pemilihan cabang, sambil menyatakan kekalahan beberapa pimpinan besar sebagai tanda rasa tidak puas hati, berbanding perebutan kuasa dalaman.

Namun, seorang lagi Ahli Parlimen senior PKR, berkata kebanyakan nama besar tumpas mempunyai hubung kait dengan platform ‘Ayuh Malaysia’ dikaitkan dengan Rafizi.

Sebilangan besar penyandang ketua cabang tewas kepada pemimpin kurang dikenali.

Naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan K Saraswathy, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, dan beberapa Ahli Parlimen antara yang mengalami kekalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.