Hati-hati keluar kenyataan di musim pilihan raya, kata mufti

Hati-hati keluar kenyataan di musim pilihan raya, kata mufti

Kenyataan mufti Wilayah Persekutuan menyusul isu berbangkit berkait keperluan mengundi dan menunaikan haji pada kempen PRK Ayer Kuning.

PRK MAHKOTA KLUANG
Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah berkata tidak timbul isu pengundian PRK Ayer Kuning pada 26 April bertembung ibadat haji memandangkan tarikh penerbangan ke Tanah Suci hanya tiga hari selepas itu.
PETALING JAYA:
Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah menasihatkan semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sepanjang kempen pilihan raya.

Kenyataan itu menyusul selepas wujud isu berbangkit berkait keperluan mengundi dan menunaikan haji oleh Presiden PAS Hadi Awang dalam kempen PRK Ayer Kuning, minggu lalu.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan kerana ‘Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin’.

Katanya, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan itu, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

“Dalam menghadapi kehangatan musim pilihan raya, kami nasihatkan semua pihak bersifat objektif, profesional dan beretika dalam mengurus segala urusan berkaitan dengannya,” kata Luqman di Facebook.

Dalam hantaran itu juga, Luqman berkata isu berkenaan tidak seharusnya timbul memandangkan tarikh penerbangan pertama jemaaah dari Malaysia ke Makkah pada 29 April, tiga hari selepas pengundian PRK Ayer Kuning.

Menurutnya, jika berlaku pertembungan sekali pun, ia adalah isu menyusun tertib keutamaan dalam melaksanakan sesuatu tuntutan yang dipanggil awlawiyyat.

“Situasi seperti haji wajib atau sunat atau nazar, kesihatan bakal haji, urusan keluarga, kedudukan kewangan semasa, peluang kuota masa depan, kewujudan teman dalam perjalanan dan lain-lain keadaan berkaitan dengannya adalah menjadi perkiraan dalam menyusun keutamaan di atas,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa membidas kenyataan Hadi bahawa ‘kemenangan politik’ bagi Islam patut diutamakan, berbanding menunaikan haji atau umrah.

Bekas menteri agama menegaskan kenyataan Hadi ketika kempen PRK Ayer Kuning itu tidak mempunyai asas dalam Islam dan dibuat semata-mata demi kepentingan politik.

Katanya, ibadat umrah dan haji tidak boleh dibandingkan dengan mengundi, kerana umat Islam perlu menyimpan wang dan menunggu kuota untuk ke Makkah, kadangkala sehingga beberapa tahun, sedangkan PRK boleh diadakan bila-bila masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.