Bekas setiausaha persatuan ditahan mohon peruntukan guna dokumen palsu

Bekas setiausaha persatuan ditahan mohon peruntukan guna dokumen palsu

Peruntukan itu kononnya bagi tujuan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran persatuan di Sabah.

macc
Suspek lelaki yang juga seorang guru besar berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas setiausaha sebuah persatuan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan mendapatkan peruntukan khas RM85,000 daripada ketua menteri Sabah.

Suspek lelaki yang juga seorang guru besar berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah pada jam 9.40 pagi tadi.

Difahamkan, suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, pagi esok.

Menurut sumber, permohonan peruntukan itu kononnya bagi tujuan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran persatuan di sebuah daerah di Sabah iaitu tempat suspek bekerja.

“Suspek yang kini digantung tugas, sebelum ini berdepan lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 21 Mei 2024 mengikut Seksyen 471 dan Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan.

“Kes itu masih dalam perbicaraan,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata pertuduhan kali ini akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.