Kuskop usahakan portal sehenti bantu PMKS cari geran

Kuskop usahakan portal sehenti bantu PMKS cari geran

Steven Sim berkata, perniagaan kecil sukar cari sumber dana yang tepat kerana ia berselerak di pelbagai kementerian dan agensi.

Steven Sim
Menteri Kuskop Steven Sim bercakap pada sesi dialog awam anjuran FMM cawangan Pulau Pinang, hari ini. (Gambar JohnShen Lee)
BUKIT MERTAJAM:
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan melancarkan sebuah portal sehenti pada hujung bulan ini bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan geran kerajaan yang tersedia untuk mereka.

Menterinya, Steven Sim berkata, kerajaan telah memperuntukkan dana RM60 bilion untuk PMKS, termasuk RM50 bilion di bawah Belanjawan 2026 serta tambahan RM10 bilion yang diumumkan bulan lepas, bagi membantu syarikat yang terjejas akibat konflik Timur Tengah.

Bagaimanapun, Sim berkata, perniagaan kecil sukar mencari saluran yang betul bagi memohon geran-geran ini kerana ia berada di bawah pelbagai kementerian dan sehingga 60 agensi kerajaan.

“Mungkin ada sesetengah maklum balas yang kita dapat (daripada peniaga kecil), mereka tak tahu nak cari kat mana, ada sumber apa, ada dasar apa, ada program apa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog awam anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) cawangan Pulau Pinang, hari ini.

“Maka Kuskop telah mengambil inisiatif untuk menyediakan satu portal sehenti, di mana semua maklumat, contohnya tentang dana-dana, tentang pembiayaan, latihan, dan sebagainya (untuk PMKS) boleh dicapai melalui portal itu.”

Sim berkata, beliau mahu mengumpulkan maklumat di bawah kementeriannya terlebih dahulu, di samping menyediakan pautan kepada agensi-agensi berkaitan yang lain di dalam portal tersebut, yang kini berada pada peringkat reka bentuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.