
Katanya, situasi ‘badan tanpa kepala’ itu bukan menimbulkan masalah.
“Apa masalahnya? Ada ketua cabang tewas tetapi pasukan menang itu biasalah, saya rasa ramai sudah komen mengenai perkara ini di luar sana,” katanya menurut Utusan Malaysia di Seremban.
Minggu lalu, bekas ketua PKR Shah Alam, Rodziah Ismail membantah kekalahannya dengan mempersoalkan undi diterima lebih rendah, berbanding pasukannya.
Ahli Parlimen Ampang itu ‘pelik’ bagaimana keputusan disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menunjukkan ‘regunya’ bagi jawatan timbalan, naib, dan ahli jawatankuasa menang dengan merekodkan undi tinggi.
Perkara sama didakwa berlaku di Kangar apabila Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling, menyuarakan keanehan selepas beliau kalah pertandingan ketua, sebaliknya calon pasukannya bagi jawatan timbalan ketua, naib, dan seluruh ahli jawatankuasa termasuk sayap Wanita menang.
Menurut laporan itu, situasi sama turut melibatkan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau, Adun Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin di Ampang, Adun Rawang Chua Wei Kiat di Selayang, dan Ginie Lim di Cabang Alor Gajah.
Semalam, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mengesahkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan mengadakan mesyuarat pada Rabu, namun menafikan ia mesyuarat tergempar, seperti didakwa dalam satu laporan.
Beliau berkata, mesyuarat itu dipanggil dengan notis sewajarnya, berikutan permintaan beberapa ahli MPP.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, satu mesyuarat ‘tergempar’ MPP PKR akan diadakan Rabu untuk membincangkan dakwaan penyelewengan dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.