Menteri tegur ahli politik jangan guna ayat Quran ‘modal’ ceramah

Menteri tegur ahli politik jangan guna ayat Quran ‘modal’ ceramah

Perbuatan seumpama itu seharusnya dielakkan lebih-lebih lagi jika yang memerlukan rujukan pihak berkuasa seperti jabatan mufti atau badan agama negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar dalam majlis sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar menegur semua pihak khususnya ahli politik, tidak menggunakan ayat al-Quran dan hadis sebagai modal di pentas ceramah, demi mencapat matlamat perjuangan khususnya ketika kempen pilihan raya.

Beliau berkata, perbuatan seumpama itu seharusnya dielakkan, lebih-lebih lagi jika yang memerlukan rujukan pihak berkuasa seperti jabatan mufti atau badan agama di negeri-negeri.

“Pada sayalah, kalau ia melibatkan pandangan hukum, sebaik-baiknya elak (daripada berlaku) sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kalau melibatkan satu pandangan hukum, boleh rujuk kepada jabatan mufti dan negeri-negeri, sebab ini pihak yang berautoriti. Cuma, jangan salah gunakan untuk kepentingan politik, ini yang paling utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Na’im berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pemimpin parti politik yang sering menggunakan agama sebagai bahan kempen di pentas ceramah bagi meraih undi khususnya.

Terdahulu, Na’im menerusi hantaran di Facebooknya menggesa tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan keutamaan menunaikan tanggungjawab untuk mengundi berbanding mengerjakan ibadat haji.

Beliau meminta pihak terbabit mementingkan ilmu dan adab dalam membuat kenyataan berkaitan hal agama.

Media melaporkan, Presiden PAS Hadi Awang memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyuarakan kekesalan dengan kaedah kempen PRK DUN Ayer Kuning yang masih menyentuh isu sensitif, termasuk isu kaum, agama, dan institusi raja (3R).

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata kempen seharusnya menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan merendah-rendahkan pihak lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.