Ceramah anti-Azam di perpustakaan P Pinang batal kerana tidak bersifat pendidikan

Ceramah anti-Azam di perpustakaan P Pinang batal kerana tidak bersifat pendidikan

Perpustakaan Digital Pulau Pinang berkata sebarang program menyentuh isu-isu sensitif tidak akan dibenar diadakan di kemudahan itu.

penang digital library
Perpustakaan Digital Pulau Pinang mengesahkan menerima tempahan awal bagi satu ceramah komuniti, namun menyatakan pemeriksaan lanjut mendapati kandungannya tidak berkaitan dengan pendidikan atau pembangunan diri.
GEORGE TOWN:
Perpustakaan Digital Pulau Pinang membatalkan tempahan bagi ceramah anti-Azam Baki yang dijadual berlangsung petang ini, sambil menjelaskan program tersebut tidak bersifat pendidikan dan menyentuh ‘isu sensitif’.

Pihak perpustakaan berkata, ia merupakan sebuah institusi berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) yang terletak dalam kawasan sekolah.

“JUsteru, sebarang program, kursus, atau bengkel yang dijalankan di sini mestilah berasaskan pendidikan dan bersesuaian dengan persekitaran perpustakaan tanpa mengganggu ketenteraman pengguna lain.

“Sebarang progam berkaitan kenduri, aktiviti keagamaan, perkauman, atau isu-isu sensitif adalah sama sekali tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Muda Pulau Pinang mempersoalkan mengapa ceramah anti-Azam tidak dibenar diadakan di perpustakaan berkenaan walaupun sudah mendapat tempahan awal.

Pihaknya mendakwa tiada garis panduan jelas dalam sistem tempahan yang melarang ceramah awam mengenai isu-isu semasa.

Ceramah tersebut, yang memfokuskan kepada kontroversi pemilikan saham melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya menampilkan antara lain wakil daripada Muda, Bersih, dan Mandiri.

Acara itu kini akan diadakan di ruang acara George Town, COEX @Kilang Besi pada 6 petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.