
Mahkamah Tinggi Taiping pada 2023 mengarahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM602,500 kepada Isma Izami Jaafar, yang ditembak oleh dua anggota polis, Zulkifli Sulaiman dan Zafran Aiman Zainol, ketika kereta mangsa dikejar.
Hakim Hashim Hamzah, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mendapati kedua-dua anggota polis itu cuai secara peribadi.
Beliau turut menyatakan bahawa kedua-duanya gagal bertindak dengan cermat ketika menjalankan tugas, justeru mahkamah rendah adalah tepat dalam memutuskan bahawa kerajaan dan polis bertanggungjawab secara vikarius.
Turut bersidang ialah Hakim Zaini Mazlan dan Ismail Brahim. Mahkamah tidak mengenakan sebarang kos.
Pada 10 Nov 2016, Isma memandu bersama tiga rakan dari Semanggol ke Alor Pongsu apabila diarahkan berhenti oleh sebuah kenderaan polis.
Namun, kerana memandu tanpa lesen, Isma panik dan enggan berhenti, menyebabkan polis mengejarnya dan melepaskan 22 das tembakan sepanjang dikejar sehingga berakhir di hadapan rumah Isma.
Tembakan tersebut menyebabkan Isma mengalami kecederaan serius dan perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan peluru di bahagian otaknya.
Dalam pembelaan, Zulkifli dan Zafran, yang ketika itu bertugas di IPD Kerian, berkata mereka mendapati Isma memandu kereta yang ‘diubahsuai’ dan pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan milik sebuah motosikal.
Mereka mendakwa menggunakan siren dan lampu serta memberi arahan berkali-kali agar Isma berhenti ketika dikejar.
Mereka juga mendakwa Isma didakwa memandu secara berbahaya dan cuba menghimpit kenderaan polis.
Atas sebab itu, Zafran berkata beliau mengarahkan Zulkifli menembak tayar kereta Isma.
Terdahulu hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syuhada Alwi yang mewakili kerajaan, memberitahu mahkamah bahawa tembakan dilepaskan adalah wajar kerana Isma cuba ‘melarikan diri’.
Hakim Zaini kemudiannya bertanya adakah semua tembakan disasarkan ke tayar. Siti Syuhada menjawab bahawa tembakan ditujukan ke arah tayar, tetapi ada yang tersasar.
Peguam Isma, Azamuddin Abdul Aziz, memberitahu mahkamah polis hanya boleh melepaskan tembakan jika nyawa mereka terancam.
Katanya, Zulkifli dan Zafran terus melepaskan tembakan ke arah kereta Isma walaupun tayar kenderaan itu sudah pancit.