
Mohd Hafizee Ismail berpangkat asisten superintendan, berkata beliau bersama pasukan bergerak ke rumah Zayn pada 10.30 malam, 7 Dis 2023, berikutan bedah siasat menemui terdapat unsur jenayah.
Katanya, beliau membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagaimana arahan ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD) IPD Petaling Jaya.
“Sebaik tiba di Apartment Idaman, saya bersama pasukan pergi ke rumah Zayn Rayyan iaitu di tingkat dua bersama-sama pasukan siasatan yang terdiri daripada pasukan Forensik D10 IPK Selangor dan menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut itu untuk siasatan saya,” katanya menurut Berita Harian.
Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dan jasadnya ditemukan di anak sungai berdekatan kediamannya sehari kemudian.
Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten untuk mempertahankan diri.
Terdahulu, Hafizee memberitahu Dr Rohayu Shahar Adnan (perubatan perunding forensik) menunjukkan kepadanya keadaan telinga kiri Zayn Rayyan dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan terdapat kesan toreh, dan dubur terdapat kesan tusukan objek.
Katanya, terdapat beberapa kecederaan lain antaranya kesan lebam di dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir, dan rahang yang ditemui pada mayat mangsa.
“Kesan kecederaan luka di bahagian telinga kiri, kesan lebam dan jerutan di bahagian leher, kesan luka seperti terhiris di bahagian lengan kanan, beberapa kesan kecederaan koyakan di bahagian dubur dipercayai menggunakan objek tumpul serta cebisan objek asing di dalam bronkus dan perut,” katanya.
Pada 13 Jun 2024, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahar, kedua-dua berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik berusia enam tahun, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.