Peja nafi Bersatu Perak bergolak

Peja nafi Bersatu Perak bergolak

Ahmad Faizal Azumu berkata permohonan pertukaran tempat duduk adalah berdasarkan kekananan parti bukan pergolakan.

Ahmad Faizal Azum
Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu berkata permintaan pertukaran tempat duduk antara dua Adun parti telah ditolak Speaker DUN Perak Mohammad Zahir Abdul Khalid.
PETALING JAYA:
Bersatu Perak nafi wujud pergolakan dalam parti yang menyebabkan permohonan pertukaran tempat duduk dua Adunnya.

Ketuanya, Ahmad Faizal Azumu, berkata keputusan itu sebaliknya dibuat atas alasan kedudukan dan kekananan dalam parti apabila Adun Changkat Jong Nadziruddin Mohamed Bandi dilantik setiausaha.

Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri bagaimanapun memaklumkan permohonan menukar tempat duduk antara Nadziruddin dan Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin, telah ditolak Speaker DUN Perak Mohammad Zahir Abdul Khalid.

“Saya nak jelaskan apabila kita mengubah tempat duduk ianya satu perkara biasa. Dalam Bersatu baru ini ada perubahan di mana Adun Sungai Manik meletak jawatan sebagai setiausaha Bersatu negeri.

“(Beliau) diganti dengan Adun Changkat Jong, maka kedudukan beliau (Nadziruddin) merupakan lebih kanan dalam Bersatu negeri…jadi itulah kita lakukan (dalam DUN),” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Ceramah Mega PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, malam tadi.

Selain itu, Faizal menyifatkan hubungan beliau dengan semua wakil rakyat termasuk Zainol adalah sangat baik, sekali gus menafikan dakwaan pergolakan itu

“Saya dan Zainol berkawan sekian lama dan akan terus bekerjasama demi pastikan Bersatu dan PN kembali dalam pentadbiran kerajaan selepas PRU akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.