
Bekas perdana menteri itu berkata, pertikaian dan pengusiran operator mercu tanda ibu kota itu sebelum ini, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), ‘memeranjatkannya’.
Katanya, tindakan pengusiran syarikat itu secara paksa memberikan persepsi yang buruk terhadap kerajaan.
”Justeru saya menggesa kerajaan supaya telus dan menyatakan perkara sebenar berhubung isu peralihan konsesi Menara KL, dan tidak seharusnya dilihat hanya mempertahankan satu pihak semata-mata.
“Tidak wajar bagi kerajaan untuk tidak mempertimbangkan sebuah syarikat Bumiputera yang telah mengurus Menara KL selama bertahun-tahun dengan rekod yang baik,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kementerian Komunikasi sebelum ini menyatakan, kontrak operasi Menara KL sebelum ini berakhir pada 31 Mac, dan konsesi 20 tahun baharu telah diberikan pada Mei tahun lepas kepada LSH Service Master Sdn Bhd, syarikat bawah kawalan LSH Capital Bhd.
Walaupun LSH Service Master sepatutnya mengambil alih operasi menara itu pada 1 April, konflik tercetus selepas MKLSB dan syarikat induknya Hydroshoppe Sdn Bhd, memfailkan saman berhubung pemberian konsesi baharu itu, yang menurutnya, melanggar kontrak dan wujud salah laku.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak percubaan menghalang LSH Service Master daripada mengambil alih, menyebabkan Hydroshoppe dan MKLSB berkeras untuk terus mengendalikan menara itu.
Kerajaan kemudiannya mengarahkan menara itu ditutup sementara dengan berkata, operatornya sebelum ini beroperasi tanpa kebenaran dan mengabaikan dua notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Menara KL, yang terletak di Bukit Nanas, ialah menara telekomunikasi setinggi 421m yang turut memiliki restoran berputar dan galeri tontonan awam.