Mangsa banjir Sri Muda turun ke Ayer Kuning jumpa MB

Mangsa banjir Sri Muda turun ke Ayer Kuning jumpa MB

Penduduk Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan nekad ingin menyerahkan memorandum selepas isu banjir di kawasan berkenaan tiada penyelesaian.

Lebih 500 penduduk dari Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan berhimpun dan menandatangani memorandum bagi mendesak kerajaan negeri memberikan penyelesaian muktamad berhubung isu banjir.
SHAH ALAM:
Lebih 500 penduduk dari Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan berhimpun di sini hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap masalah banjir yang tidak berkesudahan di kawasan mereka.

Jurucakap penduduk, Umagandhan Krishnan, berkata mereka juga nekad untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang sedang berkempen bagi PRK Ayer Kuning bagi menuntut jalan penyelesaian segera.

Katanya, penduduk mahu kerajaan memberikan penyelesaian muktamad terhadap isu banjir yang dihadapi dan bukan penyelesaian yang bersifat sementara.

“Kita dah umumkan bahawa sekiranya tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan, kita akan adakan perhimpunan aman hari ini.

“Kita nak penyelesaian muktamad. Seringkali penyelesaian sementara sahaja diberikan,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Muda.

Terdahulu, seramai 40 wakil penduduk bergerak ke DUN Ayer Kuning dengan menaiki bas untuk bertemu Amirudin bagi menyerahkan memorandum terbabit.

Sementara itu, Adun Kota Kemuning S Preakas yang turut hadir cuba menjelaskan situasi yang berlaku di Sri Muda dan menegaskan beliau sentiasa turun padang membantu mangsa banjir.

Bagaimanapun situasi bertukar kecoh apabila beliau diminta untuk berhenti menyampaikan ucapan.

Kekecohan itu berlarutan kira-kira 10 minit sebelum beliau meninggalkan tapak perhimpunan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.