
Menurutnya, kempen kutipan tandatangan itu akan dilakukan secara fizikal serta melalui platform atas talian bagi memberi ruang kepada rakyat Johor menyatakan pendirian mereka secara terbuka dan demokratik.
Pengerusi Amanah Johor yang juga Pengerusi PH negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR negeri Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP negeri Teo Nie Ching dalam kenyataan bersama berkata, Adun lantikan bukan penyelesaian paling tepat untuk memperkukuh sistem demokrasi serta representasi rakyat di negeri itu.
“PH Johor sebaliknya mencadangkan kerajaan negeri bersama Suruhanjaya Pilihan Raya mengkaji pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Johor supaya representasi rakyat dapat dilakukan lebih adil, seimbang dan selaras perkembangan semasa penduduk negeri ini.”
Katanya, kali terakhir persempadanan semula dilaksanakan pada Mac 2018 dan kini melepasi tempoh lapan tahun yang diperuntukkan untuk semakan semula.
Mereka berkata, daftar pemilih Johor setakat Disember 2025 menunjukkan jumlah keseluruhan pengundi di negeri itu seramai 2.72 juta orang di 56 kawasan DUN, menjadikan purata sekitar 48,526 pengundi bagi setiap kawasan.
Jelasnya, pertambahan serta pemindahan penduduk pesat, khasnya di kawasan bandar dan pinggir bandar menyebabkan wujud ketidakseimbangan ketara jumlah pengundi antara kawasan DUN.
Mereka memberi contoh DUN Kota Iskandar mempunyai 131,330 pengundi berbanding hanya kira-kira 23,000 pengundi di DUN Tenang.
“Ini bermakna jurang jumlah pengundi kedua-dua kawasan melebihi 100,000 pengundi yang merupakan perbezaan amat besar dan tidak seimbang dari sudut representasi demokratik.”
Pada 7 Mei lalu, DUN Johor meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk pelantikan lima Adun lantikan, menjadikan jumlah wakil rakyat meningkat kepada 61 orang, walaupun mendapat tentangan DAP dan PKR serta kumpulan masyarakat sivil.
Johor ialah negeri keempat mempunyai Adun lantikan selepas Sabah, Terengganu dan Pahang.
PH Johor berkata, persempadanan semula penting bagi memastikan beban tugas wakil rakyat tidak terlalu berat sehingga menjejaskan keupayaan mereka berkhidmat secara berkesan kepada rakyat.
Katanya, trend pertambahan pengundi dijangka terus meningkat susulan pembangunan pesat di negeri itu, termasuk projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS).