Hidupkan GST untuk jaga kanak-kanak atau pesara, kata pakar

Hidupkan GST untuk jaga kanak-kanak atau pesara, kata pakar

Pengarah penyelidik berkata kadar 2% GST sumbang RM22 bilion setahun yang mana boleh diguna bagi penjagaan sejagat kanak-kanak atau pencen kepada pesara.

Rancangan kebajikan sejagat akan lebih cekap berbanding skim sedia ada yang tumpu kepada pekerja dan golongan miskin semata, kata pengarah penyelidik. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kerajaan mampu menyediakan penjagaan sejagat kepada kanak-kanak atau golongan pesara dengan menghidupkan kembali cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar 2%, kata seorang penyelidik awam.

Norma Mansor, pengarah pusat penyelidikan kesejahteraan sosial Universiti Malaya, berkata kerajaan dijangka mengumpul RM22 bilion setahun pada kadar itu.

Norma Mansor
Norma Mansor.

Menghidupkan kembali GST akan memperluas pendapatan asas kerajaan dan memperkukuh program perlindungan sosial, kata Norma yang juga bekas setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

Bercakap pada persidangan pendapatan asas sejagat di Malaysia, beliau berkata rancangan kebajikan sejagat akan lebih berkesan, berbanding skim sedia ada yang kebanyakannya memberi tumpuan kepada pekerja dalam sektor formal dan golongan miskin tegar.

“Golongan dalam sektor tidak formal dan pekerja kontrak tidak dilindungi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kita mempunyai banyak kelemahan dalam skim perlindungan sosial,” katanya.

Manfaat pendapatan asas sejagat

Ahli ekonomi, Geoffrey Williams, berkata skim pendapatan asas sejagat akan menyelaraskan rancangan perlindungan sosial sedia ada.

geoffrey williams
Geoffrey Williams.

Katanya, mekanisme bantuan kebajikan sedia ada berdasarkan tahap pendapatan rakyat, namun mendapatkan maklumat tersebut terbukti tugas yang sukar.

“Andai setiap rakyat Malaysia mendaftar, pemantauan berterusan masih diperlukan. Setiap kemas kini memerlukan penjawat awam untuk meluluskannya (agihan bantuan kebajikan berdasarkan tahap pendapatan).”

Pendapatan asas sejagat pada kadar RM100 sebulan kepada semua rakyat Malaysia akan menyebabkan kerajaan menanggung sekitar RM36 bilion setahun.

Inisiatif serupa pernah dicadangkan Barisan Nasional dalam manifesto pada PRU 2022. BN mencadangkan skim bantuan pendapatan minimum bagi memastikan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,208 bagi setiap isi rumah.

Namun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menolak pelaksanaan pendapatan asas sejagat kerana kerajaan tidak mempunyai kemampuan.

Dr Michael Jeyakumar Devaraj
Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj, mencadangkan kerajaan melaksanakan skim itu secara berfasa, dengan dimulakan kepada anak muda dan warga emas ‘bertujuan memaparkan kepada masyarakat kesan positifnya’.

Jeyakumar berkata, skim pendapatan berkenaan kini lebih relevan berbanding sebelum ini memandangkan pasaran kerja makin tidak menentu, akibat ancaman automasi dan kecerdasan buatan.

Bagi ahli ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Nizam Barom, berkata rakyat tidak akan menyokong skim pendapatan yang mana turut memberikan bantuan tunai kepada golongan kaya, yang bertentangan idea Perdana Menteri Anwar Ibrahim ‘keadilan sosioekonomi’ untuk membantu golongan miskin melalui penyasaran subsidi.

“Menyediakan subsidi bahan api kepada 85% daripada populasi yang dikatakan layak adalah satu idea boleh diterima. Tetapi, bagaimana anda boleh mewajarkan tindakan mengenakan cukai kepada orang ramai untuk memberikan wang kepada semua orang, tanpa mengira status sosial atau ekonomi mereka?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.