
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, KKM mempertimbangkan bantuan itu memandangkan Saravanan, yang pernah meraih pingat emas acara 50km pada Sukan Komanwel 1998, ialah tokoh sukan yang patut diberi perhatian.
“Sekiranya terdapat keperluan, kami akan beri respons yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Perubatan Sukan Malaysia 2025 di Universiti Malaya (UM) hari ini, lapor Bernama.
“Inilah sebabnya penting untuk kita beri perhatian kepada tokoh-tokoh sukan yang sedang melalui proses penuaan agar mereka kekal sihat.”
Semalam, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan bantuan kepada Saravanan, 54, bagi pihak Anwar Ibrahim dan isterinya Dr Wan Azizah Ismail.
Saravanan, atlet terakhir negara meraih pingat emas dalam acara olahraga pada Sukan Komanwel, dilaporkan menghidap MND sejak 2021, penyakit menyebabkan kelemahan otot yang masih belum ada penawar. Beliau kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan UM.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan Pra Hospital bagi melindungi orang awam yang memberi bantuan kecemasan kesihatan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan defibrilator luaran automatik (AED) daripada implikasi undang-undang, dijangka dibentang pada suku keempat tahun depan.
Katanya, inisiatif kementerian itu sedang diteliti oleh Bahagian Perkembangan Perubatan bersama Pejabat Penasihat Undang-Undang KKM.
“Saya sekali lagi membincangkannya ketika mesyuarat pasca Jemaah Menteri yang lepas, penasihat undang-undang KKM sedang menelitinya dan kerana banyak RUU untuk tahun ini, mungkin tahun depan kita dapat melakukannya.
“Dari segi keperluan, ia bukan sesuatu yang menekan, tapi saya mahukannya kerana apabila (kita) telah letakkan dasar untuk mengembangkan penggunaan AED seluruh negara, kita perlu lindungi orang awam,” katanya.