Kertas siasatan kes Jalur Gemilang dirujuk AGC

Kertas siasatan kes Jalur Gemilang dirujuk AGC

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara semalam.

sin chew daily
Sin Chew Daily sebelum ini memohon maaf kerana menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu edisi Selasa lalu.
PETALING JAYA:
Polis telah merujuk kertas siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap oleh akhbar Sin Chew Daily kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pihaknya telah melengkapkan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk penelitian lanjut semalam.

“Setakat ini, seramai 54 individu telah dirakam keterangan, terdapat saksi lain mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan.

“Siasatan awal mendapati antara alasan diberikan pihak akhbar berkenaan kerana berlakunya kesilapan teknikal dalam penyiaran ilustrasi tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sin Chew Daily sebelum ini memohon maaf kerana tersilap memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan edisi Selasa lalu.

Ketua editor dan timbalan ketua penyunting akhbar itu digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Kedua-duanya dipanggil memberikan keterangan kepada polis selama tiga jam semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) turut menjalankan siasatan terhadap Kwong Wah Yit Poh yang memuat naik imej Jalur Gemilang tidak sempurna dalam satu hantaran Facebook yang memaparkan muka hadapan edisi petangnya, juga pada Selasa.

Razarudin berkata setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.