Jalur Gemilang tak lengkap: Syarikat Singapura mohon maaf

Jalur Gemilang tak lengkap: Syarikat Singapura mohon maaf

Singapore Lactation Bakes memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan dan bertanggungjawab sepenuhnya.

TCE
Orang ramai di TCE Baby Expo di Mid Valley, Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Vendor makanan bayi yang berpangkalan di Singapura memohon maaf kerana memuatnaik video memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, kes ketiga seumpama itu dalam tempoh seminggu.

Singapore Lactation Bakes, yang mempunyai reruai di pameran dagangan produk untuk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf atas kesilapan itu dan mengakui betapa pentingnya Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan Malaysia.

Katanya, ia amat menyesali kesilapan yang tidak disengajakan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya.

“Sekali lagi, kami memohon maaf dan ingin mengucapkan terima kasih atas pemahaman dan sokongan berterusan anda sambil kami berusaha untuk melakukan yang lebih baik,” menurut kenyataan.

Sementara itu, penganjur TCE Baby Expo memaklumkan reruai terbabit telah ditutup dan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman.

“Kami ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas insiden yang melibatkan salah satu pempamer kami, Singapore Lactation Bakes. Kami faham isu ini amat sensitif dan menyinggung perasaan ramai,” menurut kenyataan.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily disiasat berhubung ilustrasi grafik yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Sin Chew memohon maaf atas ‘kesilapan teknikal’ itu dan menggantung ketua pengarang dan timbalan ketua penyunting sementara menunggu hasil siasatan.

Kwong Wah Yit Poh juga disiasat berhubung catatan Facebook yang dikatakan menunjukkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.