Polis rakam keterangan 42 saksi berkait Jalur Gemilang tidak lengkap

Polis rakam keterangan 42 saksi berkait Jalur Gemilang tidak lengkap

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dijangka lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.

sin chew copy china malaysia
Polis siasat penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily, Selasa lalu. (Gambar Facebook)
SELAYANG:
Polis sudah memanggil seramai 42 saksi bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dijangka lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Setakat ini siasatan masih berjalan dah ada 40 laporan polis dibuat dah kita telah pun memanggil saksi seramai 42 orang.

“Akan ada lagi (saksi dipanggil), yang ditahan semalam sudah pun dibebaskan selepas selesai bagi kenyataan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Balai Polis Bandar Country Homes, Rawang.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap itu.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 8.20 malam tadi.

Sebelum itu, kedua-dua pengurusan kanan akhbar berkenaan dirakam keterangan selama tiga jam di Bukit Aman.

Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala timbalan ketua penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar tersebut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.