Pendakwah fitnah KJ diperintah bayar RM2.5 juta

Pendakwah fitnah KJ diperintah bayar RM2.5 juta

Khairy Jamaluddin menyaman pendakwah Rasyiq Alwi pada 2022 kerana mendakwa bekas menteri kesihatan ‘berbohong’ mengenai status vaksinasinya.

Perbicaraan sebelum ini berjalan tanpa kehadiran pendakwah itu walaupun peguam Khairy Jamaluddin memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang pendakwah membayar RM2.5 juta sebagai ganti rugi kepada Khairy Jamaluddin berhubung kenyataan berunsur fitnah status vaksinasi bekas menteri kesihatan itu.

Khairy memfailkan saman terhadap Rasyiq Alwi pada 2022 kerana mendakwa beliau ‘berbohong’ mengenai status vaksinasinya.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berpendapat kenyataan Rasyiq terhadap Khairy adalah tidak benar dan mencemarkan nama baik bekas menteri itu.

“Defendan (Rasyiq) juga secara terang-terangan tidak menghiraukan budi bicara mahkamah dengan cuba melengahkan perbicaraan dan juga keputusan hari ini dengan memfailkan permohonan untuk membuka semula kes.

“Mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan percubaannya untuk menyekat kes itu,” katanya.

Sebelum ini, perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran Rasyiq walaupun peguam Khairy sudah memaklumkan tarikh perbicaraan kepada pendakwah itu.

Hari ini, mahkamah memutuskan bahawa Rasyiq telah mengambil kenyataan Khairy mengenai usaha vaksinasi Covid-19 kerajaan di luar konteks.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi defendan untuk menimbulkan keraguan terhadap usaha plaintif dan kerajaan untuk memerangi Covid-19. Kenyataan seperti ini melemahkan semangat barisan hadapan (pekerja penjagaan kesihatan),” kata Raja Mohzanuddin.

Mahkamah menganugerahkan Khairy ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM250,000 dan ganti rugi teladan RM250,00 lagi.

Khairy kemudian memberitahu pemberita bahawa keputusan itu bukan hanya kemenangan untuknya tetapi juga untuk barisan hadapan yang telah berkhidmat semasa wabak itu.

“Kenyataan beliau melibatkan bukan sahaja saya tetapi juga mereka yang terlibat dalam memerangi Covid-19. (Pada pendapat saya) mahkamah telah memberi mesej bahawa sebarang kenyataan berunsur fitnah yang dibuat semasa krisis perlu dihukum,” katanya.

Peguamnya Abdul Rashid Ismail berkata mereka akan mendapatkan perintah mahkamah hari ini dan mengambil semua langkah yang perlu untuk menguatkuasakan penghakiman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.