‘Emas pun papar harga kenapa ubat tak boleh’, Armizan bidas doktor swasta

‘Emas pun papar harga kenapa ubat tak boleh’, Armizan bidas doktor swasta

Menteri gesa FPMPAM kemuka alasan kukuh yang membolehkan pengecualian dibuat terhadap produk ubat-ubatan.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) memperuntukkan kuasa menteri menghendaki barang atau perkhidmatan ditanda dengan harga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali membidas doktor swasta yang mempersoalkan rasional tindakan kementeriannya mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am.

Beliau menggesa Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) mengemukakan alasan kukuh yang membolehkan pengecualian dibuat terhadap produk ubat-ubatan.

“Kenapa perlu dikecualikan. Yang lain harga barangan, harga emas…semua jenis barangan dipaparkan harganya, tetapi mengapa perlu ada pengecualian pada ubat,” katanya dalam sidang media sempena sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53, menurut Sinar Harian.

Rabu lalu, FPMPAM mempersoalkan rasional membenarkan KPDN mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am, yang pada dasarnya dikawal selia Kementerian Kesihatan (KKM).

Presiden Dr Shanmuganathan TV Ganeson menegur KKM kerana berdiam diri mengenai perkara itu kerana tarikh akhir penguatkuasaan dasar iaitu 1 Mei semakin hampir.

Beliau turut menyifatkan berlaku pertindihan kuasa antara kedua-dua kementerian terbabit.

Dalam pada itu, Armizan berkata Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) memperuntukkan kuasa menteri menghendaki barang atau perkhidmatan ditanda dengan harga.

Beliau berkata, paparan harga ubat tidak menghalang klinik atau farmasi mengubah harga mengikut keadaan tertentu.

“Kalau kata harga ubat turun dan naik, saya memantau pergerakan harga ayam, ikan dan daging setiap hari. Sebagaimana saya sebut, KPDN bukan mahu kawal harga tetapi hanya mahu pihak klinik dan farmasi memaparkan harga ubat di premis mereka,” katanya.

Armizan turut memaklumkan, draf perintah bagi pelaksanaan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga produk mereka bermula 1 Mei ini masih berada di Jabatan Peguam Negara.

Katanya, segala butiran terperinci mengenai kaedah paparan harga dan hal berkaitan mekanisme berkenaan akan diketahui lebih lanjut selepas dimuktamadkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.