
James Chin dari Universiti Tasmania berkata kejayaan Anwar mendapatkan persetujuan supaya gencatan senjata di Myanmar dilanjutkan, merupakan detik penting bagi Asean, yang sebelum ini berpegang kepada dasar tidak campur tangan.
“Usaha Asean sebelum ini, termasuk pelantikan utusan khas, tidak membuahkan hasil,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.
“Prinsip tidak campur tangan lazimnya dihormati, tetapi ini bukan lagi isu dalaman semata-mata. Kebanyakan pemimpin Asean kini bersetuju bahawa Myanmar sedang menghadapi perang saudara secara menyeluruh. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan pertumpahan darah, meskipun bukan menerusi campur tangan ketenteraan,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata pihak junta dan pembangkang Myanmar telah berjanji untuk mematuhi gencatan senjata yang diumumkan pada 2 April lalu susulan gempa bumi besar yang melanda negara itu.
“Fakta bahawa kedua-dua pihak sanggup berbincang secara langsung dengan Anwar adalah sangat signifikan,” kata Chin.
Katanya, sekiranya Anwar berjaya merealisasikan pelan damai bagi menyelesaikan perang saudara itu, ia akan mengukuhkan legasi beliau sebagai negarawan serantau.
“Jika beliau benar-benar mampu menggerakkan gencatan senjata dan merangka satu hala tuju, maka beliau sudah pun menjadi wira sebenar,” katanya.
Beliau berkata sebagai pengerusi Asean pada 2025, Malaysia memikul tanggungjawab besar dan masyarakat antarabangsa akan memerhati dengan teliti usaha Anwar sebagai pengantara.
“Seluruh dunia sedang memerhatikan apa yang akan dilakukan Anwar, bukan hanya sebagai pemimpin Malaysia, tetapi juga sebagai Pengerusi Asean. Reputasi Asean terletak kepada sejauh mana kejayaan beliau,” katanya.
Menurutnya lagi, kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat, menyedari junta Myanmar tidak akan melibatkan diri dengan pihak luar dan sebab itu peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean sangat penting.
Myanmar terus dilanda konflik sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pilihan rakyat, mencetuskan bantahan besar-besaran dan gerakan penentangan bersenjata.