
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay akui kes penyalahgunaan dadah sintetik menggunakan rokok elektronik semakin membimbangkan polis, kerana turut membabitkan pelajar sekolah.
Beliau memberitahu pemberita terdapat pelajar sekolah semuda usia 13 tahun dikesan menggunakan ‘vape’ mengandungi bahan dicampur dadah.
“Kerajaan negeri pun boleh keluarkan larangan sebab lesen penjualan di bawah pihak berkuasa tempatan… walaupun tak keseluruhan tapi impaknya memang ada,” katanya lapor Bernama.
Semalam, polis membongkar kegiatan memproses cecair vape serta cendawan mengandungi dadah susulan serbuan ke atas sebuah makmal di Kedah.
Dalam operasi itu polis merampas 110 katrij dan 67 botol cecair vape yang dihasilkan di makmal tersebut, untuk dipasarkan di Kedah serta ke Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Dalam pada itu operasi melibatkan zon Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena menyaksikan penahanan 61 orang dan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6 juta.
Ayob memberitahu pemberita bahawa vape mudah dimanipulasi dengan dimasukkan dadah, dan bahan terlarang yang dikesan antaranya methamphetamine dan ekstasi, serta ‘dadah zombie’ iaitu fentanyl yang kesannya 100 kali ganda berbanding morfin serta 40 kali berbanding heroin.
“Bila tanya saya secara peribadi, vape lagi bahaya daripada rokok,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan kajian terbaharu di Kelantan mendapati usia paling muda terlibat vape adalah 13 hingga 17 tahun.
Kajian itu juga mendapati 31% pengguna adalah pengguna aktif, 7% pengguna kerap, dan 76% mengenali pengguna vape.