SPRM, Kementerian Ekonomi tubuh pasukan khas

SPRM, Kementerian Ekonomi tubuh pasukan khas

Pasukan khas itu akan memantau projek diluluskan kementerian bagi memastikan ketelusan dan mengekang ketirisan.

sprm macc
SPRM berkata antara peranan pasukan khas adalah membuat pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek-projek yang diluluskan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi bersepakat untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek-projek yang diluluskan kementerian di peringkat negeri dan daerah.

SPRM dalam satu kenyataan berkata pasukan khas itu akan menumpukan beberapa perkara bagi memastikan ketelusan dan mengekang ketirisan dalam sesuatu projek.

Katanya, antara terma pasukan khas ini termasuklah pertukaran maklumat antara Kementerian Ekonomi dan SPRM berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kepada negeri dan daerah.

“Pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek-projek yang diluluskan.

“Pasukan khas juga akan mengenalpasti kelemahan yang wujud dalam tatacara pelaksanaan dan menambahbaik ke arah pengurusan tata kelola dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan perlaksanaan projek dengan lebih berkesan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan bagi mengekang ketirisan projek yang diluluskan oleh kementerian demi kepentingan rakyat.

“Keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh menteri amatlah penting dan wajar dijadikan contoh untuk lain-lain kementerian dan agensi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.