Semak semula SOP lesen penjaja, DBKL diberitahu

Semak semula SOP lesen penjaja, DBKL diberitahu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata pihaknya sedia memperbaiki kelompangan mungkin wujud dalam pelaksanaan.

DBKL ATTACK BALLOON
Bulan lalu tiga anggota penguat kuasa DBKL yang terbabit ‘pertempuran’ dengan penjaja belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman dilaporkan direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan polis.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) berkait lesen penjaja dan penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya sedia memperbaiki kelompangan yang mungkin wujud dalam pelaksanaan tersebut.

“Salah tetap salah, perlu diambil tindakan penguatkuasaan tanpa kira siapa pun dia, baik gudang besar mahupun penjaja tepi jalan.

“Tetapi tindakan itu perlu berhemah dan perlu ikut SOP. Jika ada keperluan, tambah baik SOP tersebut bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya selepas Program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 di Dataran DBKL.

Beliau berkata, sebarang insiden yang berlaku terserah sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Dalam keadaan-keadaan tertentu, apa had yang ingin kita letakkan untuk penguat kuasa? Adakah mereka hanya perlu berdiam diri dan membiarkan sekiranya berlaku provokasi dan keganasan, walaupun mereka pun berkemungkinan dikasari?

“Kita simpati dengan apa yang berlaku, tetapi janganlah dijadikan modal politik sehinggakan hamburan demi hamburan diberikan kepada mereka yang ingin menjalankan tugas.

“Sehinggakan ada yang membawa naratif jahat, menggunakan sentimen bangsa dan agama, dan ada rakyat yang terpengaruh sampai tahap ekstrem mengugut untuk simbah asid atau simbah air panas sekiranya berjumpa dengan penguat kuasa DBKL,” katanya.

Bulan lalu, tiga anggota penguat kuasa DBKL yang terbabit ‘pertempuran’ dengan penjaja belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman dilaporkan direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan polis secara menyeluruh.

Sementara itu, Zaliha berkata DBKL akan melaksanakan proses pemutihan menyeluruh kepada semua penjaja tidak berlesen di Kuala Lumpur hingga Ogos ini.

“Kita minta penjaja tanpa lesen ini tampil, daftar dan ikut proses. Tapi kena faham, tidak semua yang kita boleh berikan lesen, ada pertimbangannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.