
Hakim Alexander Siew menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh defendan, Raghad Kurdi Taib dan RHB Investment Bank (RHB IB), yang mendakwa bahawa perkara itu di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Defendan mendakwa bahawa isu yang dibangkitkan melibatkan harta sepencarian di bawah undang-undang Syariah.
Bagaimanapun, Siew berkata isu bidang kuasa tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam penyataan pembelaan asal defendan, lapor Borneo Post.
Katanya, isu itu hanya diketengahkan semasa hujahan lisan bagi permohonan defendan untuk membatalkan saman.
Anak-anak Taib, Sulaiman Abdul Rahman dan Mahmud Abu Bekir, mendakwa bahawa 50 juta saham berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada harta pusaka ibu mereka, Laila Taib, kepada Raghad.
Laila, yang meninggal dunia pada 2009, sebelum ini memiliki 111 juta saham dalam Cahya Mata Sarawak.
Raghad yang mendakwa pemindahan saham kepada dirinya adalah sah, mendakwa suaminya berhak ke atas sebahagian harta Laila berdasarkan prinsip harta sepencarian.
Bagaimanapun, mahkamah menolak dakwaan tersebut kerana tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu.
“Defendan tidak memanggil sebarang saksi sepanjang perbicaraan, dan tiada sebarang dokumen dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut,” kata Siew.
Mahkamah turut memerintahkan Raghad dan RHB IB membayar kos masing-masing sebanyak RM20,000 dan RM10,000 kepada pihak plaintif.
Siew menetapkan 25 April sebagai tarikh keputusan permohonan defendan untuk membatalkan saman tersebut.
Plaintif diwakili peguam Alvin Chong, Jonathan Tay dan Ezekiel John Chang. Raghad diwakili Alvin Yong, Shirleen Ong dan Wong Chung Ming, manakala RHB IB diwakili Lesley Ling dan Kueh Ning.