Jalur Gemilang silap: Sin Chew gantung tugas ketua editor

Jalur Gemilang silap: Sin Chew gantung tugas ketua editor

Selain ketua editor, timbalan ketua penyuntingnya turut digantung tugas atas kesilapan di muka depan akhbar berbahasa Cina itu.

sin chew daily
Sin Chew Daily telah memohon maaf kerana menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan akhbarnya minggu ini.
PETALING JAYA:
Sin Chew Daily menggantung tugas ketua editor Chan Aun Kuang dan timbalan ketua penyuntingnya Tsai Shwu San selepas muka depan akhbar harian berbahasa Cina itu menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Pihak pengurusan akhbar hari ini berkata, keputusan itu dibuat atas dasar prinsip akauntabiliti.

“Susulan kesilapan melibatkan Jalur Gemilang di muka depan (akhbar) Sin Chew Daily, Sin Chew telah memutuskan untuk menggantung tugas editor-editor (terbabit),” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di portalnya.

Tambahnya, penggantungan tugas itu berkuat kuasa serta-merta dan akan berterusan sehingga siasatan polis berhubung perkara itu selesai.

Terdahulu, Chan dan Tsai memberikan keterangan kepada polis selama hampir tiga jam.

Sin Chew telah memohon maaf atas penyiaran Jalur Gemilang yang silap itu dan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang bertanggungjawab.

Katanya, pihaknya juga akan menambah baik prosedur semakan untuk penerbitannya, terutamanya berhubung penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut bertitah berhubung perkara itu, menegaskan pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran sebelum dicetak kerana kesalahan itu boleh mencetuskan sensitiviti rakyat.

Beberapa pihak lain, termasuk PAS dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, turut menuntut tindakan tegas diambil terhadap Sin Chew.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.