
Ketua Penerangan Umno Suhaimi Nasir dalam kenyataan berkata pengumuman ketuanya pada Ahad lalu itu telah mencetuskan pelbagai reaksi termasuk ahli Umno yang ada diantaranya menjelaskan tiada keputusan rasmi dibuat.
“Segelintir pula memilih memperlekeh atau menjadikannya bahan jenaka,” katanya menjelaskan tindakan Bung itu sebagai strategi persepsi politik untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata Umno Sabah juga menghantar mesej yang parti itu masih relevan, fleksibel dan strategik dalam pendekatan politiknya.
“Ini bukan kenyataan rambang. Ini mesej yang dikira dengan teliti.
“Dalam dunia sains politik, ini juga dikenali sebagai agenda setting iaitu menukar tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang membawa harapan dan kestabilan.
“Ia membolehkan Umno Sabah menguasai kitaran media, menyuntik semula semangat jentera parti dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negeri serta nasional,” katanya.
“Soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua. Yang penting sekarang ialah Umno Sabah kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat dan pertimbangan parti-parti lain.”
Ahad lalu, Bung mengumumkan BN bersetuju mengumumkan parti itu akan bekerjasama dengan PH, yang kini menjadi sebahagian kerajaan negeri diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, Bung sebelum ini menegaskan BN dan Umno tidak akan bekerjasama dengan GRS.
Pada Disember lepas, Hajiji berkata beliau telah menyatakan hasrat kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk mengekalkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN.