
Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman denda RM1,700 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh Chong Shen Chong, 69, yang juga seorang ahli perniagaan, lapor Sinar Harian.
Menurut tuduhan pertama hingga ketiga, Chong didakwa dengan cuai membiarkan anjing peliharaannya sehingga menyerang dan mencederakan Khadijah Abdullah, 66; warga Mesir, Ahmed Abdeltawwad Moustafa, 28; dan Asyida Nizam Ahmad, 50, di Taman Desa Bidara antara 4.45 pagi hingga 6.40 pagi, 1 April lalu.
Lelaki itu juga didakwa cuai membiarkan anjing peliharaannya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas Shaik Peer Mohamed Mohamed Mydin, 51, dan Goh Bing Hak, 74, di sebuah medan selera di Taman Desa Bidara, pada 7 pagi, hari yang sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Alvin Kua Tze Min.
Terdahulu, Alvin yang mewakili Chong memohon mahkamah mengecualikan hukuman penjara kerana keadaan tertuduh yang uzur selain disahkan menghidap kemurungan dan komplikasi jantung serta memerlukan rawatan sepanjang masa.
Katanya, dua ekor anjing Rottweiler peliharaannya yang terlibat dalam kes terbabit itu telah dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.
Pada 1 April lalu, Bernama melaporkan lima individu cedera selepas digigit dua anjing berkenaan yang terlepas daripada sangkar dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.
Semua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.