
Tertuduh, Kok Zi Kang, 25, yang juga pekerja bengkel membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan pertuduhan, pekerja bengkel itu didakwa memandu BMW 530i dengan keadaan badannya mengandungi alkohol sebanyak 76mg dalam 100ml darah, iaitu 26mg dalam 100 ml darah melebihi had ditetap dan menyebabkan kematian kepada Mohd Taufik Ariff Sariff, 37.
Kesalahan didakwa dilakukan di KM16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, kira-kira 2.10 pagi, 13 April, lapor Harian Metro.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.
Sabit kesalahan, lesen memandu juga perlu diendorskan dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu minimum 10 tahun dari tarikh sabitan dan lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.
Pada masa sama, tertuduh sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran VNH19 itu turut didakwa bagi satu lagi pertuduhan iaitu mempamerkan pada kenderaan terbabit nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kereta berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Balai Polis Trafik IPD Seri Alam, kira-kira 4.30 pagi, hari sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Nur Fatin menetapkan ikat jamin RM8,000 dan sebutan semula kes pada 19 Mei depan.