Bersihkan tanah kerajaan Pahang, 2 didenda RM200,000

Bersihkan tanah kerajaan Pahang, 2 didenda RM200,000

Bong Jau Chong, 79, dan Chong Teck Kong, 62, mengaku salah dengan sebuah jengkaut dilucuthakkan kepada kerajaan negeri.

Kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa membersihkan tanah milik kerajaan tanpa kebenaran sah di Kampung Seberang Jelai, Kuala Lipis, Nov tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan dan pemandu jengkaut masing-masing didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku salah membersihkan tanah milik kerajaan Pahang seluas 0.2 hektar tanpa kebenaran.

Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan Chong Teck Kong, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Aisah Mohamed.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Sebuah jentera jengkaut dirampas turut dilucuthakkan kepada kerajaan negeri.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa melakukan kesalahan membersihkan tanah milik kerajaan tanpa kebenaran sah di Kampung Seberang Jelai, Mukim Telang, Kuala Lipis kira-kira 3 petang, 21 Nov tahun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) [Akta 828] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Taqiuddin Azizan dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Lim Zi Shin.

Menurut Sinar Harian, pihak pembelaan memaklumkan anak guamnya tidak melakukan kesalahan jenayah berat dan hanya membersihkan kawasan bersebelahan tanah miliknya bagi menghalang kemasukan haiwan liar.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan dilakukan di lokasi kejadian, pihak penguat kuasa mendapati kawasan tersebut dibersihkan seorang individu menggunakan jengkaut.

Tiada sebarang kelulusan diberikan untuk pembersihan kawasan tanah itu. Pihak berkuasa kemudiannya menyita jentera tersebut dan menahan dua individu iaitu pemandu jengkaut dan individu yang memberikan arahan bagi pembersihan kawasan tersebut.

Kedua-dua individu dibawa ke IPD Lipis dan notis perampasan jentera diserahkan kepada pemandu jengkaut mengikut peruntukan Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Hasil siasatan mendapati, pemandu jengkaut merupakan tertuduh kedua menerima arahan daripada tertuduh pertama untuk membersihkan kawasan tanah terletak bersebelahan Lot 864, milik tertuduh pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.